Followers

Monday 22 August 2011

Tukang masak bukan Islam

Assalamualaikum.
TIDAK ada larangan kepada orang Islam memakan makanan yang dimasak oleh orang kafir, munafik dsb, selama-mana ia tidak melibatkan makanan yang HARAM di makan (seperti khinzir (babi)) atau minuman yang diharamkan (seperti arak, wine, dsb), dan juga binatang yang disembelih bukan dari kalangan orang Islam atau Ahli Kitab.
Begitu jugalah menggunakan pinggan, gelas dsb, yang di basuh oleh orang-orang kafir, melainkan mereka menggunakan bahan-bahan pencuci yang mengandungi benda yang haram.
Jika alasan mereka berasaskan bahawa apa-apa sahaja sentuhan orang kafir itu NAJIS, maka mereka telah tersilap di dalam memahami nas al-Quran. Kenajisan orang kafir hanyalah pada aqidahnya, bukanlah tubuhnya itu najis secara fizikal. Berikut kami petik jawapan yang lalu mengenai isu ini :-
Orang Kafir Najis
Firman Allah S.W.T.
Wahai orang yang beriman sesungguhnya orang Musyrikun itu adalah najis…..” [Surah al-Taubah : 28]
Kenajisan kaum Musyrikin bukanlah najis hissiyah, dan apa yang dijelaskan di dalam al-Quran didalam ayat di atas bermaksud ketidaksucian kaum musyrikin terhadap AQIDAH mereka yang mensyirikkan Allah swt.
Berkata Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi :-
“Kenajisan orang musyrikin adalah Najis Ma’nawiyah, melainkan ada segelintir fuqaha’, seperti Zaidiyyah dan Zahiriyyah mengatakan orang musyrikin dan kufar adalah najis hissiyah”.
Al-Qaradhawi memetik kata Imam Shaukani rh bahawa apa yang dimaksudkan adalah najis tersebut bukanlah najis hissiyah, bahkan ia adalah najis hukum. Ini bermaksud bahawa aqidah orang-orang kafir ini yang najis, dan bukanlah fizikal badan mereka.
Malah kata al-Qaradhawi di dalam riwayat Sahih bahawa Nabi saw dan para sahabat pernah minum dan mengambil wudhu’ dari bijana orang Musyrikin. Baginda juga makan makanan hidangan orang kafir.
Dr Khaled Muhammad Abdul Kadir, pensyarah Universiti Lebanon menyatakan bahawa adalah dibenarkan lelaki Islam beristerikan ahli kitab, mereka boleh bersentuhan, baik ke atas alat-alat perabot ataupun pakaian mereka. Suami juga boleh makan makanan yang disediakan oleh isteri ahli kitab dan boleh menggunakan pinggan, mangkuk dan gelas yang sama. Jelas INI menunjukkan kenajisan mereka bukanlah fizikal badan mereka.
Kesimpulannya, jumhur ulama’ mengatakan maksud orang kafir itu najis adalah kepada aqidah mereka yang tidak suci, dan bukanlah fizikal badannya sehinggakan batal wudhu’ jika menyentuh mereka.
Kesimpulannya, anda boleh makan makanan yang dimasak oleh orang kafir selagimana kandungan makanan tersebut halal dimakan. Sentuhan orang kafir BUKAN najis. Yang berbeza dengan kita hanyalah aqidah mereka sahaja.
Wassalam

No comments:

Post a Comment