Followers

Thursday, 17 November 2011

BIOGRAFI RASULULLAH


Di Makkah al-Mukarramah, lahirlah bayi yang bernama Muhammad s.a.w. yang menurut sebahagian ulama lahir pada 12 Rabiul Awal dan mengikut setengah pandangan ulama lain pada 17 Rabiul Awal tahun 570 Masihi. Sejak kebelakangan ini ulama mutakhir telah mengambil usaha untuk mewujudkan perpaduan antara dua pandangan tersebut dengan mengisytiharkan tempoh antara kedua-dua tarikh tersebut sebagai minggu perpaduan umat Islam. Ayah Baginda iaitu Abdullah bin Abdul Muthalib telah pun meninggal dunia sebelum Baginda lahir dan ketika berusia 6 tahun Baginda telah kehilangan ibu yang tercinta.

Nama sebenar Baginda ialah Muhammad s.a.w. bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan bin ‘Add bin Humaisi’ bin Salamam bin Auz bin Buz bin Qamwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Bildas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin Aid bin ‘Abqar bin ‘Ubaid bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbir bin Yathrabi bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin Aid bin Desyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muksar bin Nahits bin Zarih bin Sami bin Wazzi bin ‘Adwa bin Aram bin Haidir bin Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. bin Azar bin Nahur bin Saru’ bin Ra’u bin Falikh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nabi Nuh a.s. bin Lamik bin Matul Syalakh bin Nabi Idris a.s. bin Yarid bin Mahlail bin Qinan bin Anwas bin Syits bin Nabi Adam a.s..

ABU MUTHALIB

Datuk Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Abdul Muthalib bin Abdul Manaf telah bertanggungjawab mengambil alih dalam mendidik Nabi Muhammad s.a.w..

Abdul Muthalib adalah ketua suku Bani Hasyim dan juga sebagai penjaga Ka’bah. Tidak lama kemudian ketika Nabi Muhammad s.a.w. berusia 7 tahun Baginda telah kehilangan datuknya yang mulia. Menjelang kematiannya dia telah menunjukkan anaknya iaitu Abu Thalib sebagai penjaga kepada Nabi Muhammad s.a.w..

Oleh kerana Baginda seorang yang ramah, lemah lembut, berakhlak mulia dan tinggi budi pekerti Nabi Muhammad s.a.w. telah ikut serta dalam kafilah dagang Abu Thalib melintasi gurun untuk berniaga.

KHADIJAH

Khadijah binti Khuwailid adalah janda bangsawan yang sangat kaya. Beliau mencari seseorang untuk menguruskan kafilah dagangnya yang mewah dan akhirnya, beliau telah memilih Nabi Muhammad s.a.w. sebagai orang kepercayaannya. Oleh kerana Nabi Muhammad s.a.w. mampu berdagang dengan jujur dan amanah maka perniagaannya berkembang maju. Inilah yang menyebabkan Khadijah binti Khuwailid sangat tertarik sehingga beliau menghantar seseorang untuk melamarnya. Walaupun umur Khadijah binti Khuwailid sudah berusia 40 tahun dan Nabi Muhammad s.a.w. baru berusia 25 tahun namun, pernikahan mereka berdua merupakan pernikahan yang sangat bahagia.

DIANGKAT MENJADI NABI


Sebagai pencinta alam dan ketenangan, Nabi Muhammad s.a.w. sering memencilkan diri di Gua Hirak untuk beribadah. Suatu malam di malam ‘Lailatul Qadar’, ketika Baginda sedang bermunajat di dalam Gua Hirak, ada satu suara yang memerintahkan:
“Bacalah dengan nama Tuhanmu”[1].

Dengan penuh kegembiraan atas kunjungan utusan Allah s.w.t. yang terasa aneh itu, Nabi Muhammad s.a.w. bergegas pulang menemui isterinya dan memberitahu tentang apa yang terjadi. Khadijah binti Khuwailid mendengar dengan penuh perhatian dan kemudian berkata,
“Aku naik saksi bahawa anda adalah Rasulullah s.a.w..”

Setelah itu suara dari langit kedengaran menyerunya lagi,
“Wahai orang yang berselimut, bangunlah, peringatilah dan agungkanlah Tuhanmu”[2].
Inilah tanda bagi Baginda untuk mula mengajar kebenaran mutlak iaitu ajaran tentang keesaan Allah s.w.t..

Pada mulanya, Nabi Muhammad s.a.w. hanya mengajak kaum kerabat terdekat sahaja untuk memerima akidah yang mulia ini. Wanita pertama yang memeluk Islam adalah Khadijah binti Khuwailid dan diikuti Saidina Ali k.wh. kemudian diikuti Zaid bin Haritsah menjadi mualaf. Begitu juga Abu Bakar dan Utsman.

Umar yang ketika itu merupakan musuh Islam yang paling jahat dan terkenal keburukannya kerana menganiaya kaum muslimin akhirnya, memeluk Islam.

MEMILIH KHALIFAH (PEMBANTU)


Selama tiga tahun Nabi Muhammad s.a.w. berdakwah secara bersembunyi untuk menghentikan kaumnya daripada menyembah berhala. Selama itu Baginda hanya berjaya mengIslamkan 30 orang sahaja. Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w. memutuskan untuk tampil di khalayak ramai terutama kaum Quraisy untuk menghentikan penyembahan terhadap berhala dan menyeru mereka supaya mengesakan Allah s.w.t..
Nabi Muhammad s.a.w. telah mengundang 40 orang kaum kerabat terdekatnya dalam satu jamuan. Dalam perjumpaan tersebut Baginda mengatakan selama ini Baginda tinggal dan hidup di antara mereka, sehingga kemudian Baginda bersabda,
“Apakah selama ini kalian pernah mendengar daku berbohong?” Mereka menjawab,
“Kami tidak pernah mendengar anda berbohong, wahai al-Amin.” Nabi Muhammad s.a.w. bertanya lagi,
“Adakah kalian akan percaya, bila daku mengatakan musuh sedang berkumpul di sebalik bukit untuk menyerang kalian?” Mereka menjawab,
“Ya, kami akan percaya.” Nabi Muhammad s.a.w. meneruskan,
“Adakah kalian akan percaya daku akan mengatakan sesuatu kepada kalian?” secara serentak mereka menjawab,
“Ya, sudah tentu kami percaya.” Kemudian dengan tegas Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
“Daku tahu, tiada seorang pun daripada bangsa Arab yang dapat memberikan kepada keluarganya sesuatu yang lebih berharga dari yang daku tawarkan sekarang. Sesungguhnya daku menawarkan kepada kalian kebahagiaan di dunia mahupun kebahagiaan di akhirat. Allah s.w.t. Yang Maha Kuasa telah memerintahkanku supaya mengesakanNya. Oleh itu, siapa di antara kalian yang akan membantuku dalam hal ini dan akan menjadi saudaraku serta khalifahku?”
Dengan ragu-ragu mereka menolak seruan Nabi Muhammad s.a.w.

Saidina Ali k.wh. yang berada di situ berdiri seraya mengatakan,
“Saya bersedia membantu anda.” Nabi Muhammad s.a.w. merasa terharu lalu memeluk Saidina Ali k.wh. dan bersabda,
“Dia adalah pembantuku, washiku dan khalifahku.”

Orang ramai yang berkumpul di situ tertawa terbahak-bahak sambil mengejek Abu Thalib,
“Adakah anda bersedia untuk tunduk kepada anak anda sendiri?”

ISLAM


Nabi Muhammad s.a.w. adalah pengasas agama besar iaitu Islam. Islam bermaksud tunduk dan berserah diri kepada Allah s.w.t. Ajaran Islam adalah sederhana, mudah, praktikal dan bermanfaat untuk kehidupan seharian. Islam memerintahkan supaya orang Islam beriman kepada Allah s.w.t., melakukan perkara yang baik, menunaikan solat dan zakat.

Agama baru pimpinan Nabi Muhammad s.a.w. telah menggerakkan satu revolusi yang dahsyat yang telah menggoncangkan keyakinan dunia yang sudah berakar. Mereka yang mempunyai kepentingan, para raja, para Pendeta dan mereka yang zalim semuanya menentang serta bersatu untuk menjatuhkan Islam.

Para penjaga Ka’bah dan pemilik berhala menemui Abu Thalib untuk memintanya supaya menghentikan Nabi Muhammad s.a.w. dari menyatakan ‘Lailaha Illallah’.

Bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan permintaan mereka kepada Baginda dan jika Baginda menurut kata mereka, Baginda akan dianugerahkan kekayaan yang melimpah ruah. Malahan Baginda akan dilantik menjadi ketua atau raja. Namun, Nabi Muhammad s.a.w. menolak dengan cara baik.

Akhirnya, kaum Quraisy menjadi marah dan mengancam melakukan boikot serta mengancam untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w.. Abu Thalib yang sebenarnya cenderung dan simpati kepada anak saudaranya bersedia untuk membela Baginda jika ada kemungkinan buruk yang akan berlaku.

Semenjak Nabi Muhammad s.a.w. berdakwah untuk mengajak manusia mengesakan Allah s.w.t., semenjak itu Baginda sering dicaci dan dimaki. Sehingga budak kecil juga mulai melempar Baginda dengan batu. Saidina Ali k.wh. yang sentiasa berasa di sisi Nabi Muhammad s.a.w. telah berusaha untuk menghalang kanak-kanak terus melukakan Nabi Muhammad s.a.w..

Gangguan dan penganiayaan yang dilakukan kaum Quraisy terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan beberapa pengikut setia Baginda semakin menjadi-jadi. Beberapa orang yang beriman diseret di atas pasir yang panas, dipenjarakan, dipukul dan tidak diberi makanan namun, mereka tetap berpegang teguh terhadap keyakinan mereka sehingga nafas terakhir.

Umayyah telah mengheret Bilal iaitu hamba sahayanya sendiri di Padang Pasir yang panas dan menindihnya dengan batu besar sambil berkata,
“Engkau akan tetap dalam keadaan begini sehingga engkau mati.”

Namun, Bilal tetap berkata,
“Ahad, Ahad, Ahad, Allah Yang Maha Esa.”

Selama 10 tahun Nabi Muhammad s.a.w. bekerja keras dan berdakwah. Walaupun usaha Baginda dipenuhi ranjau dan duri, Baginda hanya dapat menghasilkan pengikut seramai 100 orang sahaja. Nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan pengikutnya untuk mencari tempat perlindungan di negeri jiran iaitu Ethiopia. Seramai 80 orang lelaki dan 18 orang perempuan berangkat menuju negeri yang diperintah Raja Negrus. Rombongan tersebut dipimpin Ja’far ath-Thayyar (saudara kandung Saidina Ali k.wh.) juga sepupu Nabi Muhammad s.a.w..

Ketika sampai di perkarangan istana, Ja’far at-Thayyar berkata,
“Wahai raja, dulunya kami sangat bodoh dan tiada berakhlak. Kami menyembah berhala, melakukan zina, makan bangkai manusia, membicarakan keburukan, tidak mengendahkan rasa kemanusiaan dan kewajipan hidup berjiran.”
“Dulunya kami tidak tahu hukum kecuali hanya dengan kekerasan dan kezaliman. Kemudian Tuhan memunculkan seseorang di kalangan kami yang mengajak kepada keesaan Tuhan dan mengajarkan kepada kami supaya tidak menyekutukanNya. Dia melarang kami menyembah berhala dan memerintahkan supaya berkata benar, setia kepada keyakinan kami, bermurah hati dan memperhatikan hak jiran tetangga. Dia melarang kami merendahkan kedudukan wanita atau makan harta anak yatim. Dia memberitahu kami untuk membuang sifat buruk dan menjauhkan diri dari melakukan kejahatan, memerintahkan untuk mendirikan solat dan melaksanakan puasa. Lalu kami pun beriman, menerima ajaran dan perintahnya untuk beribadah kepada Allah s.w.t. dan tidak menyekutukanNya.”

“Atas dasar ini, kaum kami bangkit melawan kami, menganiaya kami supaya tidak melakukan ibadah kepada Allah s.w.t. dan kembali menyembah berhala yang dibuat dari kayu dan batu.”

“Mereka menyeksa kami sehingga kami tidak dapat keamanan hidup. Maka kami pun datang ke negeri Tuanku untuk mengharapkan perlindungan dari ancaman mereka.”

Namun, permintaan mereka ditolak dan akhirnya, mereka kembali ke Makkah al-Mukarramah dengan perasaan hampa.

Suatu ketika ketua suku Arab bertemu Abu Thalib dengan berkata,
“Kami sangat menghormati usia dan kedudukan anda, tetapi kami tidak dapat bersabar terhadap anak saudara anda. Hentikanlah dia atau kami akan memerangi anda.”

Tidak lama kemudian Abu Thalib menemui anak saudaranya dan menyampaikan hasrat kaum Quraisy. Dalam jawapannya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
“Wahai bapa saudaraku, seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, untuk memaksaku meninggalkan misi dakwah, daku tidak akan berhenti sehingga Allah s.w.t. menunjukkan alasanNya atau daku binasa dalam usaha ini.”

PERISTIWA SEDIH


Ketika Nabi Muhammad s.a.w. berjuang untuk menegakkan syiar Islam, Baginda mengalami pelbagai dugaan dan cabaran. Antara dua dugaan yang dialami Nabi Muhammad s.a.w. adalah:

1. Bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Abu Thalib bin Abdul Manaf selaku pelindung dan penaungnya telah meninggal dunia.
2. Isteri kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Khadijah binti Khuwailid juga telah meninggal dunia. Dia telah meninggalkan seorang puteri yang bernama Fatimah az-Zahra’ yang sekaligus menggantikan tempatnya untuk menguruskan ayahandanya. Semenjak itu Fatimah az-Zahra’ dikenali sebagai Ummu Abiha (Ibu kepada ayahnya).

HIJRAH


Dengan ketiadaan Abu Thalib sebagai pelindung, para pembesar Makkah al-Mukarramah merancang untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w..

Di bawah bimbingan llah s.w.t. Baginda meminta Saidina Ali k.wh. untuk tidur di katilnya dan Nabi Muhammad s.a.w. meletakkan selimutnya yang berwarna hijau di atas badan Saidina Ali k.wh..

Ketika para pembesar keliru untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w. dan ternyata orang yang berada di atas katil adalah Saidina Ali k.wh., akhirnya, Baginda berjaya berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.

Semasa Nabi Muhammad s.a.w. tinggal di Madinah al-Munawwarah, Baginda merupakan tokoh yang paling mulia yang daripadanya bersinar cahaya kerasulan. Kini Nabi Muhammad s.a.w. adalah pemimpin agung bagi manusia semesta alam.

Berbeza dengan orang Arab, Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah menggunakan senjata, namun, semenjak menetap di Madinah al-Munawwarah Baginda terpaksa menggunakan kekuatan senjata untuk membela Islam. Maka bermulalah perang pertama Islam yang dinamakan perang Badar. Walaupun kaum muslimin masih tidak ramai namun, berkat didikan Nabi Muhammad s.a.w. dan semangat juang yang tinggi, kaum muslimin dapat menumpaskan kaum Musyrikin yang jauh lebih ramai.
Suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w. sedang tidur di bawah pokok yang tidak jauh dari khemahnya. Tiba-tiba Baginda dikejutkan musuhnya yang bernama Du’thur bin al-Harits yang menghunuskan pedang ke arahnya.
“Wahai Muhammad, siapakah yang akan menyelamatkanmu sekarang?” katanya dengan nada mengejek.
“Allah s.w.t..” Jawab Nabi Muhammad s.a.w. ringkas.

Tiba-tiba orang Badwi tadi menggigil ketakutan sehingga pedang yang dipegangnya jatuh. Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. mengambil pedang tersebut lalu bersabda,
“Sekarang siapakah yang akan menyelamatkanmu?”
“Tiada siapa” Jawabnya ketakutan.
“Oleh itu belajarlah daripadaku supaya menjadi orang yang pemaaf.” Sambung Nabi Muhammad s.a.w.. Du’thur bin al-Harits menjadi insaf lalu memeluk agama Islam.


No comments:

Post a Comment