Assalamualaikum...
Saya Mohd Ezman Bin Zamani dari Rawang, Selangor. Saya mempunyai satu kemusykilan tentang PENGHARAMAN ANJING. Sebelum saya memulakan bicara, saya ingin meminta maaf jika tersalah atau terkasar bahasa kerana saya hanyalah manusia biasa yang selalu melakukan kesilapan.
Sememangnya kita semua tahu daripada dulu bahawa terdapat dua haiwan yang diharamkan dalam agama Islam iaitu anjing dan babi. Saya telah membuat analisis dan kajian tentang sebab dan kenapa babi diharamkan. Jawapan-jawapan yang saya perolehi sangat memuaskan hati saya kerana ia menunjukkan keagungan Allah s.w.t dan keistimewaan Al-Quran. Segala analisis yang saya peroleh adalah berlandaskan 'Scientific Proven' dan Alhamdulillah kerana sememangnya babi diharamkan oleh Allah adalah disebabkan penjelasan yang amat saintifik. Saya megakuinya dan saya mengerti mengapa Allah menyatakannya dalam Al-Quran.
Tetapi..
Saya tidak menjumpai sebab mengapa anjing diharamkan. Tiada satu pun ayat di dalam Al-Quran yang mengatakan bahawa anjing itu haram dan pengharaman anjing diisyhtiharkan berlandas kepada hadis nabi yang bermaksud,
"Sucinya bekas salah seorang kamu apabila dijilat anjing hendaklah membasuhnya dengan tujuh kali air. Enam kali air mutlak dan satu kali air tanah". (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad).
Berlandaskan kepada hadis tersebut, ulama-ulama telah bersepakat bahawa anjing adalah sama tarafnya seperti babi dan ianya haram bagi umat islam. Tetapi mengapa Allah tidak menyatakan dalam Al-Quran seperti tentang pengharaman babi? Adakan Allah terlupa untuk menyatakannya? Sesungguhnya Allah Maha Besar dan Bijaksana, mustahil bagi Allah untuk terlupa dan sesungguhnya setiap hukuman Allah mempunyai sebab yang sempurna. Ada orang memberitahu saya supaya tidak mempertikaikan hukum Allah dan saya bersumpah bahawa saya tidak pernah mempertikaikan sama sekali hukum Allah kerana dalam kes ini, Allah tidak berfirman bahawa anjing itu haram, maka saya tidak sama sekali mempertikaikan hukum Allah. Berbalik kepada hadis tersebut, saya sekali lagi telah membuat analisis tentang maksud hadis tersebut.
Saya telah membuat kajian tentang tanah dan mengapa kita diwajibkan mengguna air tanah. Berdasarkan kepada pembacaan (akhbar, journal,artikel,buku dan lain-lain) dan analisis, tanah merupakan agen pembersih terbaik untuk menyucikan SEGALA jenis kotoran dan kerana itulah kita diwajibkan untuk menggunakan air tanah untuk menyucikan najis mugholazzah. Seperti yang kita tahu bahawa air liur binatang mengandungi pelbagai bakteria yang berbahaya dan saya menyimpulkan bahawa hadis nabi tersebut adalah ditujukan kepada semua binatang dan bukan kepada anjing sahaja, Nabi Muhammad menyuruh kita menyucikan najis bekas yang telah dijilat anjing dengan 6 kali air mutlak dan satu kali air tanah kerana tanah adalah unsur terbaik untuk menyucikan segala kekotaran tidak kira sama ada anjing, babi, kucing dan haiwan lain. Mungkin pihak tuan akan berpendapat bahawa air liur anjing sangat berbahaya berbanding haiwan lain seperti kucing tetapi di Malaysia, terdapat kes di mana seorang suri rumah terpaksa di potong kakinya kerana telah di gigit oleh kucing peliharaannya akibat jangkitan bakteria yang terdapat dalam air liur kucing tersebut. Ini menunjukkan bahawa bukan hanya air liur anjing sahaja yang berbahaya tetapi kucing juga. Jadi, jika kedua-dua haiwan tersebut mengandungi bakteria yang berbahaya di dalam air liurnya, mengapa kucing atau haiwan lain tidak diharamkan seperti anjing?
Ada pendapat mengatakan bahawa anjing diharamkan kerana tabiat buruk anjing yang gemar menjulurkan lidahnya tetapi, saya ingin memberitahu pihak tuan bahawa kucing peliharaan saya juga menjelirkan lidahnya seperti anjing terutama apabila dalam keadaan panas. Jadi mengapa kucing atau binatang lain yang menjelirkan lidah tidak diharamkan seperti anjing? Penjeliran lidah oleh semua binatang adalah untuk menstabilkan haba yang terkandung di dalam badan dan ia untuk mengelakkan pengumpulan haba di dalam badan kerana haiwan tidak mempunyai liang peluh.
Ada pendapat mengatakan bahawa anjing itu kotor dan menjijikkan, kerana itulah ia diharamkan tetapi saya ingin bertanya, apakah takrifan sebenar terhadap maksud KOTOR DAN JIJIK itu? Haiwan tidak mempunyai akal fikiran untuk membezakan kotor dan jijik termasuklah kucing kerana kucing juga sama seperti anjing, mereka adalah haiwan dan akan menjadi jijik dan kotor apabila tidak dijaga dengan sempurna.
Saya harap pihak tuan dapat memberikan penjelasan saintifik tentang mengapa anjing diharamkan seperti penjelasan saintifik yang telah saya peroleh tentang pengharaman babi. Setiap hukum memerlukan penjelasan dan saya amat memerlukan penjelasan tersebut. Allah tidak akan meletakkan hukum dengan sia-sia. Diharap pihak tuan dapat membalas e mail dengan segera berserta penjelasan yang sempurna. Saya hanya manusia yang sentiasa melakukan kesilapan.
Ramai rakan saya yang bukan beragama islam bertanya tentang perkara ini dan saya tidak mampu menjelaskan kepada mereka dengan sempurna seperti bagaimana saya menjelaskan tentang babi. Wassalam...
Dijawab oleh: USTAZ SYAHRIL FAZLI BIN MAT HUSSAIN
Hukum yang berkait dengan najis anjing bukan disandarkan pada ayat Al-Quran tetapi disandarkan kepada sunnah Nabawiyah. Kalau anda cari di dalam Al-Quran, tidak akan jumpa dalilnya. Bagi orang Islam sumber syariah selain daripada al-Quran iaitulah Sunnah Nabawiyah, Qias dan Ijma Ulama', Ulama'. Sunnah Nabawiyah adalah semua perbuatan, perkataan dan hal yang didiamkan oleh Rasulullah SAW. Kedudukan sunnah Nabawiyah adalah sama dengan Al-Quran kerana pada hakikatnya adalah wahyu dari Allah swt juga, Hukum yang ditetapkan oleh al-Quran, hadis, Qias dan Ijma Ulama' adalah hukum yang sah dan wajib diterima pakai di sisi syariat Islam.
Begitulah juga di dalam Al-Quran tidak pernah menyebut kewajipan solat sehari semalam sebanyak lima kali dan 17 rakaat. Al-quran juga tidak menyebut berkaitan dengan najis yang dimaafkan, kotoran manusia dan air kencing. Walaupun al-Quran tidak menyebutnya, tetap kita mengatakan ianya bernajis dan tidak boleh dimakan atau minum. Begitulah juga apabila seseorang selesai membuang air kecil atau besar tidak terus menunaikan solat walaupun al-Quran tidak menyebut kenajisannya. Hal ini kerana najis demikian disebut dalam sunnah Nabawiyah.
Dalam memahami syariah Islam, kita diharamkan hanya berdalil pada Al-Quran sahaja tanpa melihat kepada sunnah Nabawiyah. Kufur kepada sunnah Nabawiyah sama seperti kufur kepada Al-Quran. Karena sunnah Nabawiyah itu bersumber dari wahyu Allah SWT juga. Adapun dalil dari sunnah Nabawiyah yang telah diterima semua ulama tentang najisnya air liur anjing adalah sebagai berikut:
Dari Abi Hurairah ra bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Bila seekor anjing minum dari bekas milik kalian, maka cucilah 7 kali."
Dari Abi Hurairah ra bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Sucinya bekas kalian yang dimasuki mulut anjing adalah dengan mencucinya 7 kali."
Menurut riwayat Ahmad dan Muslim disebutkan salahsatunya dengan tanah.
Maka seluruh ulama sepakat bahawa air liur anjing itu najis, bahkan kedudukan najisnya adalah najis yang berat (mughallazhah), kerana untuk mensucikannya dengan menggunakan tujuh kali air dan salah satunya dengan menggunakan air tanah, sama seperti najis babi.
Bagi Mazhab As-Syafiiey‚ Makkiiyyah dan Al-Hanabilah sepakat mengatakan bahawa bukan hanya air liurnya sahaja yang bernajis, tetapi seluruh tubuh anjing itu hukumnya najis berat, termasuk air peluhnya. Bahkan haiwan lain yang kahwin dengan anjing, akan ikut hukum yang sama juga (iaitu najis yang berat). Pada pandangan Syafiieyy‚ Makkiiyyah badan air liur dan mulut anjing adalah najis kerana sumber air liur itu datangnya dari badan. Maka badannya itu juga merupakan sumber kepada najis. Termasuklah air yang keluar dari tubuh badan anjing itu sendiri seperti air kecil, air besar dan peluhnya.
Pendapat tentang najisnya seluruh tubuh anjing ini juga dikuatkan dengan hadis lain seperti: Bahwa Rasululah SAW diundang masuk ke rumah salah seorang kaum dan beliau mendatangi undangan itu. Di waktu lainya, kaum yang lain mengundangnya dan beliau tidak mendatanginya. Ketika ditanyakan kepada beliau apa sebabnya beliau tidak mendatangi undangan yang kedua, beliau bersabda:
"Di rumah yang kedua ada anjing sedangkan di rumah yang pertama hanya ada kucing. Dan kucing itu tidaklah najis." (HR Al-Hakim dan Ad-Daruquthuny).
Jelas kepada kita hadis ini menunjukkan bahawa kucing itu tidak najis, sedangkan anjing itu adalah najis. Wallahua'lam.
Mengenai perkara anjing ini :
Antara penyakit yang merbahaya ialah penyakit yang berasal dari telur benih sejenis cacing yang banyak didapati di dalam usus anjing, cacing disemai di setiap pelusuk melalui najisnya di rumah-rumah dan pada setiap tempat ia berulang-alik kepadanya (Kamus Perubatan oleh Laros Medical).
Penyakit tersebut boleh berpindah kepada manusia melalui sentuhan anjing kepada bekas makanan atau bekas air yang diminumnya, kerana hidung, mulut dan sekitarnya sebagai tempat membawa penyakit.
Jangkitan daripada anjing berlaku sewaktu sedang bermain-main dengannya tanpa berhati-hati untuk menjaga kulit dari air liurnya. Di India terdapat orang-orang yang mati disebabkan penyakit anjing dianggarkan lebih daripada 15 ribu orang setahun. Di Sri lanka 30 orang dari setiap juta orang dari jumlah penduduk. Di Filipina 12 dari setiap juta penduduk. (Dr al Saiyid Salman a Saqa dalam tulisannya “Air Liur Yang Membunuh” dalam majalah Manar al Islam Mac 1986).
Antara penyakit yang dibawa oleh anjing kepada manusia ialah penyakit kulit disebabkan kuman-kuman tersebut meresap ke kulir, ia menjadi kudis dan calar-calar di kulit. – Menurut Dr Hisyam Ibrahim al Khatib dalam bukunya “Kemudaratan Kesihatan Akibat Pemeliharaan Anjing”.
Sumber : Mukjizat Ilmiah Dalam Islam (Sunnah Nabawiah) – Muhammad Kamel Abd Samad
*BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment