Followers

Monday, 3 October 2011

Syurga dan Neraka

Seorang guru pernah bercerita kepada saya. Katanya, diriwayatkan, tatkala Allah selesai mencipta syurga, maka Allah memanggil malaikat untuk menyaksikan kehebatannya. Malaikat yang melihatnya telah terpesona dengan kecantikan syurga lalu berkata, "Nescaya semua orang akan mahukannya". Lalu Allah melindungkan syurga itu dengan kemiskinan, kepayahan dan ujian. Maka berkata pula malaikat, "Nescaya, tiada yang akan berjaya".


Kemudian Allah menciptakan neraka dan sekali lagi memanggil melaikat untuk melihat betapa azabnya siksaan yang ada di dalamnya. Malaikat yang melihatnya berasa gerun dengan penderitaan yang terkandung di dalamnya seraya berkata "Nescaya, tidak akan ada orang yang akan mahukannya". Tetapi kemudian Allah lindungkan ianya dengan emas, kekayaan dan keseronokan, berkatalah mereka "Nescaya tidak akan ada yang akan terlepas".

Saya sebenarnya amat terkesan dengan riwayat ini. Dan beberapa kali juga saya ulanginya di hadapan beberapa orang teman (terutama yang lebih junior) sebagai peringatan buat mereka dan diri saya sendiri terutamanya. Mengapa? Kerana riwayat ini sudah menjelaskan sesuatu yang perlu kita fahami secara asas. Iaitu jalan ke syurga itu sememangnya dilitupi duri dan onak manakala jalan ke neraka sememangnya dipenuhi dengan kenikmatan.

Mungkin kerana itu, walaupun hakikat indahnya syurga telah diuar-uarkan oleh Allah melalui lidah mulia rasulNya Muhammad saw, namun duri dan onak, kemiskinan, kepayahan dan ribuan lagi keperitan yang menanti di pintunya menjadikan kita seakan terlupa akan kehebatan nikmat di dalamnya. Deretan kesusahan yang menanti sepanjang jalan ke syurga menjadikan syurga itu hilang daya tarikannya di hadapan mata kita.

Begitu juga jalan ke neraka. Sememangnya mudah. Dan yang lebih pasti, tampak indah. Seronoknya berada dalam jalan ke neraka ini sehingga kita terlupa hakikat sebenar neraka itu yang dipenuhi dengan azab penderitaan, nyalaan api hitam dan biru, lautan peluh, nanah dan darah dan pelbagai lagi siksaan-siksaan yang menggerunkan bukan sahaja manusia, bahkan malaikat yang melihatnya.

Dan kerana mudahnya ia kelihatan, ditambah lagi keseronokan yang ada sepanjang jalan menujunya, ramai di antara kita yang sama ada secara sengaja atau tidak telah memilih neraka menjadi tempat tujuan utama. Wana'uzubillah... Sebenarnya, bukanlah kerana kita 'tertarik' kepada siksaan yang ditawarkan di dalamnya. Tidak. Tetapi sebenarnya akibat terpedaya semasa berada di atas jalannya.

Maksiat dan dosa itu memang menyeronokkan. Memang lazat. Katakan apa saja entuk maksiat. Riba? Rasuah? Zina? Mencuri? Minum arak? Apa lagi? Kesemua emang seronok untuk dilakukan. Apatah lagi di zaman serba moden ini. Orang serba berbangga dengan kemungkaran yang diperbuat. Seorang lelaki akan begitu berbangga dengan keupayaannya meniduri seorang gadis dan lain-lain lagi.

Sedangkan jalan ke syurga tampak kelam dan memeritkan. Siapa yang suka berlapar? Siapa yang sanggup hidup dalam kemiskinan? Bangun malam untuk bertahajud? Malah bagi orang yang mengejar keuntungan, meninggalkan perniagaan dalam tempoh sepuluh minit untuk berjemaah di masjid juga suatu kerugian. Dan mereka juga, orang-orang yang memilih hidup zuhud, sering dipandang jijik di mata masyarakat. Siapa yang sanggup jadi sebegini?

Maka benarlah ungkapan malaikat tadi. Tiada siapa yang akan terlepas dari siksa neraka dan tiada siapa yang akan berjaya untuk masuk ke syurga. Kerana kebiasaan kita untuk melihat dan seterusnya mengutamakan luaran terlebih dahulu dari hakikat yang terselindung. MasyaAllah... Tetapi dengan sifat Rahim dan Ghafur Allah, insyaAllah kita akan mampu juga menjejakkan kaki ke taman syurgaNya yang penuh keindahan selagi kita beriman.

Tetapi, apakah neraka akan menjadi tempat persinggahan kita sebelum kita akan ke syurga? Inilah yang sering menghantui pemikiran saya. Saya takut untuk masuk ke nerakaNya. Saya gerun mendengar kisah-kisah siksaan yang disaksikan oleh Nabi saw di neraka ketika peristiwa Israk & Mikraj. Tetapi kaki ini selalu berat untuk berdiri menghadapNya. Mata ini terlalu sukar untuk menahan mengantuk demi beribadah kepadaNya.

Tambah lagi dengan kehidupan hari ini. Saranan Nabi Muhammad saw, insan yang selalu saya sebutkan sebagai kasih dan cinta kepadanya, yang saya akui sebagai utusan Allah, yang saya iktiraf sebagai manusia terunggul untuk dicontohi, saya ketepikan begitu sahaja. Saya tidak mahu hidup dalam kekurangan seperti Baginda saw. Bahkan saya turut sama dalam perlumbaan mengumpul harta dunia bersama orang-orang yang tidak beriman!

Kebanyakan dari kita mengakui keimanan kepada Allah dan NabiNya serta Hari Akhirat. Tetapi berapa ramaikah antara kita yang benar-benar bersedia untuk bertemuNya & merebut Syafaat NabiNya di Hari Akhirat kelak? Cuba lihat diri kita hari ini. Dari pagi sampai ke pagi, yang selalu terkeluar dari bibir kita adalah kata-kata bagaimana hendak menambahkan pendapatan. Entah berapa kali sahaja kalimah zikir dan fikir ummah terkeluar dari situ.

Hari ini, ramai dari muslim yang sudah tidak hairan dengan syurga dan neraka Allah. Sehinggakan ada yang sanggup mendakwa nikmat yang sedikit di dunia ini bagaikan di syurga. Seperti contohnya, dapat berduaan dengan kekasih itu bagaikan berada di syurga. Atau, kota maksiat seperti Haadyai dan Las Vegas tanpa silu digelar sebagai syurga. Sedangkan syurga Allah itu jauh lebih hebat dari itu.

Begitu juga dengan neraka. Sesetengah dari kita ada yang merasakan diri mereka dapat menahan siksa dan nyalaan api di neraka kelak. Astaghfirullah. Semuga Allah mengampunkan dan memberikan kepada mereka dan juga kita semua. Tetapi sesungguhnya siksa neraka Allah itu begitu hebat azabnya. Tidak ada satu jiwapun yang akan mampu menahannya walaupun Iblis, yang pernah menjadi ketua para malaikat.

Menyamakan apa-apa kenikmatan dunia ini bagaikan syurga Allah dan apa-apa kesusahan pula sebagai neraka Allah adalah perbuatan yang jahil dan kejam terhadap Allah. Sesungguhnya, seandainya syurga dan neraka itu dizahirkan, tidak akan ada orang di dunia ini yang akan melakukan pekerjaan lain selain beribadat bagi mendapatkan tempat di syurgaNya dan mengelak dari terjerumus ke dalam neraka.

Saya menulis bukan untuk sesiapa. Tetapi untuk diri saya sendiri. Semoga selepas ini tubuh ini tidak lagi berat dari beribadah kepadanya. Supaya lidah ini lebih asyik mengalunkan zikir dari berbual perkara yang lagho. Supaya mata ini lebih seronok menatap naskhah al-Quran dari menonton hiburan di televisyen. Supaya aqal ini lebih mencari redhaNya dari mencari kekayaan duniawi. Supaya hati ini lebih mengingatiNya dari mengingati yang lain. Amin...

Tuhanku... Aku tidak layak untuk syurgaMu. Tetapi aku tidak sanggup menghadapi siksa nerakaMu. Terimalah taubatku, Kau ampunilah dosa-dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dosa-dosa besar.....

Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri.

No comments:

Post a Comment